KOLEKSI SETEMPAT PUSAT SUMBER DSDN SMK RANCHA-RANCHA - TAKIDING









Pengenalan: Takiding
Takiding ialah salah satu teknologi tradisi Melayu yang telah lama digunakan bagi masyarakat Melayu. Takiding adalah satu alat pembawa barang bagi masyarakat Kedayan dahulu. Namun, sekarang takiding ini telah digunakan oleh kesemua puak jati Labuan.
Pada zaman dahulu, takiding digunakan untuk membawa barang dagangan dari rumah ke rumah dan ke tamu. Ketika datang musim menuai, para petani akan menggunakan takiding untuk mengangkat padi dari bendang ke durung. Begitu juga bila tiba musim buah-buahan maka takidinglah yang digunakan oleh penduduk kampung untuk mengangkat buah-buah seperti rambutan, langsat, rambai, kembayau dan sebagainya dari dusun ke rumah atau ke tamu untuk dijual.
Proses Pembuatan

Kemahiran/skil dan pengalaman adalah diperlukan untuk membuat takiding. Setelah itu, mendapatkan bahan-bahan yang utama diperlukan sebelum menghasilkan takiding. Bahan-bahan utama takiding selalunya bahan-bahan tempatan yang hanya didapati di dalam hutan seperti bamban atau buluh, rotan dan daun kayu.

Proses pembuatan takiding ini tidak mengambil masa yang panjang untuk menyiapkannya. Ini tergantung kepada si pembuat, tidak ditetapkan berapa lama untuk menyiapkan takiding. Kemungkinan si pembuat akan menyiapkannya dengan jangka masa yang pendek jika ada si pembeli telah menempah untuk membeli. Takiding besar mengambil masa 5 hari untuk disiapkan, manakala takiding kecil hanya mengambil masa 3 hari. Demikian juga, tenaga si pembuat adalah tenaga utama didalam proses pembuatan takiding ini. Ataupun si pembuat memerlukan tenaga bantuan dari ahli keluarganya atau jiran atau sesiapa sahaja.

Bahan-bahan Pembuatan takiding

Ketika mengambil bamban ini, pakaian haruslah lengkap agar tidak terkena dengan kulit bamban yang boleh mendatangkan alergik kepada kulit yang terdedah. Selepas bamban ini diambil, ianya akan dicuci dengan bersih dan dipotong dengan halus agar mudah bagi membentuk bamban tersebut mengikut corak Takiding yang dikehendaki. Selepas ianya siap dipotong, ianya dicuci lagi dan dijemur selama dua hari bagi memastikannya lembut dan mudah dibentur. Meskipun ianya dibentuk dengan halus namun inilah bahan yang menyebabkan takiding lebih tahan lama.

Manakala bingkai (frame) tidak potong halus kerana ini memastikan Takiding tersebut akan bertahan lebih dan tidak mudah koyak. Namun pengguna ‘bingkai’ berbeza kepada setiap kaum kerana ada sesetengah kaum tidak menggunakan bingkai namun bagi memastikan Takiding tersebut tahan lebih, potongan buluh tersebut haruslah tebal sedikit dan dibentuk lebih tebal mengikut kualti bamban tersebut.

Selain dari bamban, ada juga yang menggunakan buluh untuk membuat takiding. Tetapi disebabkan struktur buluh itu licin, agak sukar untuk dipakai menjadi badan takiding itu apabila hendak dianyam kecuali digunakan untuk takiding yang kecil-kecil sahaja.

Kegunaan Takiding

Takiding ini menpunyai pelbagai kegunaan seperti untuk mengangkat buah-buahan dari ladang ataupun kebun. Selain daripada itu, takiding juga digunakan untuk membawa padi yang sudah dituai ketika musim menuai sebelum padi tersebut disimpan ke dalam guni.

Pada masa kini, takiding digunakan untuk membawa barang-barang yang hendak dijual dari rumah ke tamu bagi masyarakat Kedayan. Bagi masyarakat Iban, takiding digunakan untuk membawa barang makanan yang dibawa dari rumah ke tempat berpadi (sawah). Selain daripada itu juga, masyarakat Iban juga menggunakan sebagai salah satu alat untuk berpadi.

Biasanya Takiding berukuran 22 inci tinggi, garis-lintang sebelah bawah 10 inci dan garis lintang sebelah 18 inci. Tetapi takiding yang dibuat khusus untuk mengangkat padi berukuran jauh lebih besar dari itu. Tingginya mencapai hingga 36 inci. Garis lintang sebelah bawah 13inci dan garis lintang sebelah atas 22inci. Takiding besar boleh memuati 8 ke 10 gantang padi yang sudah diirik, manakala takiding kecil boleh memuati 5 ke 6 gantang sahaja.

Takiding yang digunakan dengan cermat boleh tahan sehingga 10 tahun. Takiding yang tahan lama ini biasanya digunakan ketika musim tertentu sahaja iaitu seperti musim menuai. Takiding yang digunakan setiap hari hanya boleh bertahan 3 hingga 4 tahun.

Selain untuk mengangkat atau membawa barang-barang, takiding ini juga boleh dijadikan sebagai barang perhiasan atau koleksi peribadi bagi penggemar kraftangan yang berbentuk anyaman ini. Ini selalunya takiding yang dibuat bersaiz kecil.

Apatah lagi takiding ini juga boleh dijadikan sumber sejarah orang Melayu. Jikalau takiding ini tidak lagi digunakan, anda mungkin beruntung kerana memiliki warisan budaya orang Melayu yang turun-temurun telah digunakan.

Kepentingan Takiding

Beberapa aspek perlu diambil berat dalam menghasilkan teknologi tradisi Melayu iaitu:

1) Hubungan teknologi dengan Kehidupan

2) Hubungan teknologi dengan Islam

3) Hubungan teknologi dengan Budaya

4) Kaitan teknologi dengan Persekitaran

Dengan aspek-aspek ini dapatlah kita mentafsirkan kepentingan sesuatu teknologi itu terhadap masyarakat seperti berikut:

1) Hubungan Takiding dengan Kehidupan

– Memudahkan kehidupan masyarakat Melayu dan menjalinkan hubungan antara  puak jati Labuan yang lainnya.

2) Hubungan Takiding dengan Islam

– Corak, warna dan jalurnya itu penting supaya tidak bercanggah dengan pandangan Islam.

3) Hubungan Takiding dengan Budaya

– Material budaya yang akan diwarisi zaman-berzaman

– Melambangkan budaya orang Melayu yang kreatif dalam anyaman/kraftangan

4) Kaitan Takiding dengan Persekitaran

-Takiding ini dibuat haruslah menepati citarasa manusia dan alam sekelilingnya agar tidak memudaratkan penggunaanya mahupun persekitarannya.

Fungsi Ekspresif dan Simbolik

Takiding mempunyai keunikan tersendiri dari segi kecantikan, keunikan dan kehalusannya. Oleh itu, pembuat perlu peka dan teliti dalam menganyam takiding ini kerana warna dan coraknya perlulah bersesuaian dengan masyarakat dan budaya Melayu dan tidak bercanggah dengan pandangan Islam. Dalam kata lain, fungsi ekspresif yang berbentuk kesenian ini adalah pengucapan ekspresif yang menceritakan latar belakang permasalahan bangsa. Fungsi simbolik pula melambangkan idea atau konsep kehidupan seperti bersifat tolong-menolong, bersatu-padu dan sebagainya. Seperti dalam Peribahasa Bahasa Melayu, “Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh” ini dapat dipamerkan melalui cara takiding itu dijalin/dianyam. Oleh itu, masyarakat Melayu perlu memandang tinggi di atas hasil kesenian ini kerana teknologi itulah yang menaikkan martabat orang kitani.

Perbezaan Takiding Dahulu dan Sekarang

Takiding dahulu dan takiding sekarang sangat berbeza dari segi warna, corak dan bahan-bahannya.

Perubahan ini terjadi disebabkan material untuk membuat takiding susah didapati. Oleh itu, para pembuat takiding menemui cara baru untuk mengganti material ini. Material untuk membuat takiding dahulu hanya didapati di hutan, manakala bahan takiding sekarang menggunakan bahan plastik yang mudah didapati di kedai sahaja. Mereka tidak perlu masuk ke hutan untuk mencari bahan-bahan tempatan lagi.

AKAN TETAPI, persoalannya adakah penggunaan bahan plastik ini akan berkekalan? Kerana plastik adalah diperbuat daripada bahan yang tidak tahan lama dan berkemungkinan akan menimbulkan masalah persekitarannya

Cabaran dan Masa Depan

Adakah takiding ini masih digunakan sehingga ke generasi-generasi yang akan datang?

Golongan mana yang lebih menitikberatkan penggunaan dan kepentingan takiding ini?

Bagaimanakah cara untuk meningkatkan dan mempertahankan takiding ini daripada pupus ditelan zaman?

Disini timbul beberapa persoalan seperti yang tersebut di atas. Pengkaji ingin mengetahui sampai bilakah penggunaan takiding ini dipertahankan. Rata-rata kita sedia maklum anak muda sekarang sudah tentu tidak berminat dengan teknologi tradisi Melayu. Ini kerana kecanggihan teknologi moden yang pesat telah merubah perspektif kehidupan orang ramai yang lama-kelamaan akan meninggalkan warisan budaya mereka.

Tambahan pula, pembuat takiding ini di kalangan orang tua sahaja. Kemungkinan jika tidak ada pewaris yang meneruskan perusahaan atau pembuatan teknologi ini, sukarlah untuk mempertahankan dan meningkatkan penggunaan takiding ini.

Oleh yang demikian, sebelum teknologi tradisi Melayu kita ini seperti takiding pupus, adalah baiknya kita memikirkan langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengekalkannya. Ini adalah satu cabaran bagi bangsa Melayu untuk mempertahankan hasil kraftangan mereka. Mungkin ada cara baru yang boleh digunapakai untuk menghasilkan takiding ini hingga layak ke peringkat global.

Kesimpulan

Hasil dari kajian ini, pengkaji telah menemui beberapa penemuan yang signifikan terhadap bangsa Melayu. Kesimpulannya, takiding ini adalah salah satu alat teknologi yang melambangkan jati diri masyarakat Melayu dari dulu sehingga sekarang. Dengan adanya usaha-usaha atau langkah-langkah yang sewajarnya, takiding ini akan dapat berkekalan dan dipertahankan hingga ke generasi baru yang akan datang. Ini akan menjadi ristaan orang Brunei zaman-berzaman. Walaupun masa sekarang terdapat perbezaan diantara takiding dahulu dan kini, takiding ini masih jua digunakan untuk pelbagai kepentingan dan kegunaan.

Tambahan pula, kegunaan dan kepentingan takiding ini boleh menguntungkan banyak pihak. Ini sama ada dari segi sosial, budaya dan ekonomi yang bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri malahan juga untuk negara dan masyarakat.

Selain itu, masyarakat Melayu sepatutnya harus sedar dengan keupayaan mereka sendiri dalam penghasilan kraftangan yang unik dan kreatif. Ini adalah satu kebanggaan masyarakat itu sendiri untuk mempertahankan warisan budaya mereka. Bukan sahaja takiding, malahan teknologi tradisi Melayu yang lainnya haruslah dikekalkan. Mungkin pembuat teknologi-teknologi perlu bersifat lebih meluas dan terbuka untuk memajukan perusahaan orang Melayu kita sendiri.

Rujukan :
  

No comments:

Post a Comment