Friday 25 August 2017

KENALI PENGETUA SMK RANCHA-RANCHA ENCIK OMAR BAKI BIN MATUSIN

AYAHANDA OMAR BAKI BIN MATUSIN

Tuan Pengetua SMK Rancha-Rancha iaitu Omar Baki bin Matusin telah dilahirkan pada 25 April 1959 di Kampung Menumbuk Sabah. Kedua-dua orang tua beliau iaitu En  Matusin bin Aspar dan Puan Asiah binti Amat berasal dari keluarga nelayan. Sungguhpun datang dari keluarga yang sederhana namun, Tn Pengetua Omar Baki Bin Matusin telah menerima pendidikan yang sempurna bermula dari sekolah rendah hinggalah keperingkat universiti. Tn Pengetua SMK Rancha-Rancha iaitu Omar Baki bin Matusin telah mendapat pendidikan sekolah rendahnya di SK Menumbuk Sabah dan menyambung pelajarannya di  Sekolah Menengah Menumbuk sehingga tingkatan 3. Beliau telah mengambil SPM di SMK Majakir Papar Sabah. Selepas berjaya menamatkan pelajarannya di peringkat STPM iaitu di SMK Menggatal, beliau telah melanjutkan pelajarannya di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang  Ekonomi dan telah mendapat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

Selepas tamat pengajian beliau di UKM, Tuan Pengetua Omar Baki bin Matusin telah menjadi guru sandaran di SMK Kuala Penyu pada tahun 1987. Pada tahun 1989, beliau telah mengambil Diploma Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Tugas rasmi beliau sebagai pendidik bermula di Sekolah Menengah Sains Labuan iaitu pada tahun 1992. Pada tahun 1995, beliau telah berpindah tempat bertugas iaitu di SMK Majakir Papar Sabah . Di SMK Majakir Papar, beliau telah menjawat jawatan sebagai Penyelia Petang dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Pengalaman dan ketokohan beliau yang luas dalam pentadbiran pendidikan telah menyebabkan beliau   dilantik sebagai pengetua di sekolah yang baru dibuka iaitu SMK Taman Perumahan Bedaun W.P Labuan tahun 2000 . Pada tahun 2001, beliau telah dipindahkan bertugas di Jabatan Pendidikan W.P Labuan dan menjawat sebagai Ketua Sektor Pengurusan Sekolah. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pendidikan secara pentadbiran pada tahun 2010 – 2013.

Kecemerlangan dan ketokohan beliau jelas terserlah di peringkat sekolah rendah lagi apabila beliau pernah dipilih sebagai Pelajar Terbaik dan Ketua Pengawas Sekolah. Pada peperiksaan SRP beliau telah mendapat 8 Agregat. Sewaktu bertugas sebagai pegawai pendidikan di JPWPL, beliau pernah menjadi Program Manager DTP, Pegawai Perhubungan di peringkat kebangsaan, Juru Latih Utama Kumpulan Penggerak Sarana Kebangsaan ( KPSK ), wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kebangsaan (PPDK ) . Ketika ini , Tn Pengetua Omar Baki bin Matusin merupakan YDP Majlis Pengetua Sekolah Menengah W.P Labuan.  Beliau juga dilantik sebagai AJK MPSM kebangsaan dari tahun 2014 hingga 2017.

Kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan pendidikan telah menyebabkan beliau beberapa kali mendapat Sijil  Perkhidmatan Cemerlang tahun  1997, 2003  manakala tahun 2009 dan 2012 beliau telah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Tuan Pengetua, Cikgu Omar Baki bin Matusin telah menjadi AJK Penerbitan Buku Panduan Pengurusan Sekolah Berkesan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2006. Beliau juga pernah menjadi Penolong Pegawai Pengurus PRU ke -11 P166 Labuan dan Pegawai Penguat Kuasa PP-KPR PRU Ke-13 P166 Labuan. Pada tahun 2016 beliau telah menerima Anugerah Kepimpinan TMK Peringkat Negeri W.P Labuan.  

Penglibatan beliau di peringkat antarabangsa dalam pendidikan terbukti apabila beliau pada 17 hingga 29 Ogos 2015 telah menghadiri kursus Advanced Management For Senior Education Officers di Sukhotai Thammathirat Open University Thailand.  Pada tahun 2012 beliau telah dipilih untuk mengikuti lawatan penanda arasan ke Beijing China. Selain itu, beliau juga telah dipilih mengikuti lawatan oleh Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia ke Guilin China pada tahu  2014. Pada tahun 2016 , beliau juga telah mengikuti rombongan lawatan  MPSM ke Pulau Jujie Korea Selatan.

No comments:

Post a Comment