Setiap kali menjelang peperiksaan, ibu bapa
biasanya lebih bimbang berbanding anak-anak. Kebimbangan ini lebih ketara
di pihak ibu berbanding bapa.Ibulah yang lebih gemuruh dan risau. Bapa pula
biasanya lebih tenang dan terkawal perasaannya.Jangan pula kerana tekanan yang
kita rasakan dan harapan yang kita letakkan pada seorang anak, membuatkan kita
kelam kabut sehingga lupa apa yang sepatutnya dilakukan di saat menjelang
peperiksaan.
Salah pendekatan kita maka anak yang menerima
akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi peperiksaannya.Sebab
itulah kita sebagai ibu bapa mesti tahu persediaan yang perlu dilakukan bagi membantu
kecemerlangan anak-anak menjelang peperiksaan.Berikutan musim peperiksaan yang
makin menghampiri, artikel kali ini yang dirujuk daripada buku teknik
memotivasikan anak – Dr. Tengku Asmadi, saya ingin berkongsi dengan ibu
bapa semua mengenai peranan yang wajib dibuat oleh semua ibu bapa untuk
membantu anak menjelang peperiksaan.
1. Fahami Tekanan yang Dihadapi oleh Anak
Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak
juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada di antara mereka tidak menunjukkan
kebimbangan tetapi ia dapat dilihat daripada segi perubahan sikap dan tingkah
laku mereka.Ada anak-anak yang rungsing lalu tidak berselera makan tetapi ada
juga yang menjadi terlalu kuat makan. Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada
pula yang semakin banyak tidurnya.Ada yang murung, marah-marah, sensitive dan
sebagainya. Sememangnya perasaan bimbang menyebabkan berlakunya perubahan sikap
dan tingkah laku ini.
Sebagai ibu bapa , kita mesti peka terhadap
perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan itu dengan lebih
memahami mereka.Nyatakan kepada mereka dengan jelas, apa yang kita harapkan
daripada mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.
Nyatakan juga kepada mereka bahawa
kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya syarat bagi mereka hidup
cemerlang di dunia Allah ini.Ramai mereka yang gagal dalam pelajaran tetapi
dapat hidup senang dan berjaya dalam bidang sukan, nyanyian, muzik, seni,
lakonan, perniagaan dan lain-lain.Apabila tinggal beberapa hari lagi menjelang
peperiksaan, elakkan daripada menyuruh mereka menjawab terlalu banyak
soalan-soalan yang tidak diketahui penyelesaiannya kerana ini dapat membuatkan
mereka rasa tidak bersedia.
Keyakinan diri tergugat dan ini menjejaskan
prestasi ketika menjawab soalan-soalan yang mereka sedia ketahui.Adalah lebih
baik ibu bapa diam tanpa memberi sebarang komen apabila didapati perasaan anak
terlalu tertekan sehingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan
perasaannya dengan mengatakan dia pasti gagal.
Perhatikan sahaja gelagat anak kerana biasanya luahan
perasaan itu bukanlah perasaan yang sebenar. Dia tidak bermaksudkan apa-apa
dengan kata-katanya. Ia sekadar melepaskan perasaan. Itu sahaja. Oleh itu
biarkan anak itu seketika.
Selepas itu ajak anak melakukan aktiviti yang
menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah. Misalnya adakan masa menonton
cerita jenaka seketika. Berhibur dan bergelak ketawalah sekeluarga.Ini dapat
mengendurkan perasaan tegang dalam diri anak dan dia kini bersedia belajar
semula.Waktu ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula. Rancang bersama
jadual ulang kaji mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu
diambil.
2 Tingkatkan Keyakinan Diri Anak
Keyakinan diri yang tidak mantap sering
menghantui jiwa anak-anak.Ada diantara mereka memang sudah membuat ulang kaji
sejak awal lagi tetapi tetap tiada keyakinan diri.Sebagai ibu bapa, kita perlu
tahu keyakinan itu datangnya daripada persediaan. Semakin bersedia anak kita
maka semakin yakinlah dia.
Persediaan ini pula bukanlah sekadar membaca,
menghafal dan menyediakan nota semata-mata. Persediaan ini mestilah merangkumi
aspek menerima (input) dan mengeluarkan (output) maklumat.Proses mendapat
maklumat termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya, dan
mengetahui teknik menjawab soalan-soalan.Proses mengeluarkan maklumat pula
adalah menjawab soalan-soalan seperti membuat latihan, latih tubi dan simulasi
dengan menggunakan segala pengetahuan yang diperolehi dalam proses
mendapat maklumat itu tadi.
Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin soalan
agar mendapat mengalaman. Lebihkan latih tubi bagi mana-mana topik yang agak
lemah ataupun bentuk soalan yang kurang dikuasai.Seterusnya perhebatkan
simulasi dengan menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan ramalan
mengikut mengikut masa yang ditetapkan.Lakukan proses simulasi ini seolah-olah
dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan yang sebenar.
3. Dorong anak secara Positif
Ibu bapa perlu selalu memberikan harapan kepada
anak dengan melontarkan kata-kata yang positif. Apakah kata-kata positif?
Kata-kata positif adalah kata-kata yang apabila
diucapkan menghasilkan gambaran minda yang juga positif.
Contohnya:
- Bukan “Jangan buang masa” tetapi ucapkan “Manfaatkan masa”
- Bukan “Jangan berputus asa” tetapi ucapkan “Berusahalah dengan lebih gigih lagi” ataupun “Mak percaya adik pasti BOLEH!”
- Bukan “Jangan kelam kabut” tetapi ucapkan “Bawa bertenang.”
Malah banyak lagi contoh-contoh yang dapat
diberikan
4. Kerjasama Sepenuhnya
Apabila anak akan menduduki peperiksaan
penting, maka keseluruhan ahli keluarga yang ada dalam rumah perlu memberikan
kerjasama sepenuhnya.Antaranya menghormati waktu ulangkaji anak itu dengan
setiap ahli keluarga menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar.Misalnya ibu
bapa dapat memanfaatkan waktu itu bagi membaca bahan-bahan bacaan yang
berfaedah. Adik kecil pula diberi kertas dan pensel untuk bagi menconteng.
Begitulah juga dengan ahli keluarga yang lain-lain.
Pastikan tiada seorang pun ahli keluarga yang
menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong, bermain-main dan
sebagainya, sedangkan ada anak yang sedang bertungkus lumus menghadapi
pelajarannya.Dengan cara ini anak akan dapat merasakan perjuangannya dihargai.
5. Kurangkan aktiviti Luar
Elakkan daripada terlalu banyak membuang masa
dengan aktiviti diluar seperti keluar membeli-belah, makan di luar, balik
kampong, menziarahi keluarga dan sebagainya. Ingatlah bahawa setiap minit amat
berharga kepada anak.Oleh itu pastikan setiap aktiviti yang dirancang
menyumbang kepada persediaannya menghadapi peperiksaan sama ada persediaan
mental, emosi, fizikal ataupun rohani anak-anak.Tambahan pula, kekerapan berada
diluar rumah hanya hanya mendedahkan mereka pada perkara yang tidak diingini
sama ada daripada segi kesihatan ataupun keselamatan
6. Elakkan Anak daripada Tidur Lewat
Ada anak yang suka belajar sehingga lewat malam
bagi menghabiskan ulang kaji mereka. Jangan biarkan keadaan seperti ini
berlarutan.Pastikan anak masuk tidur awal dan bangun awal. Galakkan mereka
membuat sedikit ulang kaji pada waktu awal pagi walaupun hanya 20 ataupun 30
minit. Pada waktu ini, fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana
pula nyaman.Banyak maklumat yang dibaca ketika ini
7. Berikan anak Pelepasan Tugas Harian.
Berikan anak layanan istimewa setiap kali
menjelangnya peperiksaan.Bebaskan dia daripada melakukan tugas harian yang
sememangnya menjadi rutin seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur,
membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.Agihkan sementara
tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik ataupun ibu bapa
sendiri.Dengan cara ini, anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan
seluruh ahli keluarga benar-benar mahu melihat dia cemerlang.
Dia akan timbul rasa bersalah sekiranya waktu
yang diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, sedangkan
semua orang memberikan kerjasama.Dia juga akan mengharapkan suasana peperiksaan
seperti ini akan datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas.Anak-anak
yang lain pula tidak ada sebab untuk cemburu kerana apabila tiba masa mereka,
mereka juga akan dilayan dengan cara yang serupa.
8. Nyatakan Ganjaran dengan Jelas
Jangan biarkan anak kita berteka teki mengenai
ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia memperoleh keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan dengan jelas bentuk ganjaran yang mahu
diberikan kepadanya.Jika ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan jelas
apakah bendanya itu. Tunjukkan gambar mengenai apa yang mahu diberikan
kepadanya.
Jika ia berbentuk suatu percutian, beritahu
destinasi yang ingin dilawati nanti. Dapatkan risalah, cerita, serta
gambar-gambar mengenai destinasi itu dan tunjukkan padanya. Jika ia dalam
bentuk duit, nyatakan dengan jelas mengenai jumlahnya.Namun dalam soal bab duit
ini ibu bapa perlu bertindak bijak. Sebabnya, jika kita beritahu kepada anak,
“Kakak, setiap A yang kakak dapat dalam PMR, nanti ayah akan berikan RM50”,
maka ia mungkin memerangkap kita kembali.
Apabila anak tahu dia lemah dalam subjek bahasa
Inggeris maka dia tidak meletakkan kesungguhan bagi mendapat A kerana dia
berfikir, jika dia mendapat 7A pun jumlahnya adalah RM350. Masih banyak lagi.Oleh
itu kita perlu meletakkan syarat dengan jelas dengan berkata, “Kakak, jika
kakak mendapat 8A dalam PMR maka setiap A itu nilainya ayah berikan RM50.
Tetapi jika bukan 8A maka setiap A nilai itu ayah berikan RM30 sahaja.”
Dengan cara ini, anak-anak dapat menghitung
sendiri, jika dapat 7A nilainya hanya RM210 sahaja berbanding RM400 bagi 8A.
Perbezaan yang ketara ini secara tidak langsung mendorong anak berusaha
mendapat 8A.Ganjaran yang kabur atau samar-samar tidak dapat merangsang jiwa.
Misalnya elakkan daripada berkata, “Jika abang
cemerlang dalam SPM, maka emak bawa abang melancong”. Sebaliknya kita perlu
berkata, “Jika abang cemerlang dalam SPM, emak pasti bawa abang ke Beijing.”Pastikan
apa jua ganjaran yang mahu diberikan mampu kita tunaikan. Jika tidak, anak
mungkin hilang kepercayaan kepada kita sebagai ibu bapa dan selepas itu, janji
kita tidak anak dipercayai lagi.Berikan juga ganjaran kepada usahanya, bukan
sekadar hasil ataupun pencapaiannya sahaja.
Jika kita tahu anak sudah berusaha
bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan namun keputusan peperiksaan
tidak seperti yang dijangkakan, maka berikanlah dia sesuatu bagi menghargai
penat lelahnya itu.Ini menunjukkan yang kita memang mengambil berat dan
prihatin kepadanya.Dengan cara ini, anak akan menjadi lebih bersemangat untuk
berusaha dengan lebih gigih pada masa akan datang.
9. Ambil Cuti
Inilah masanya bagi ibu bapa memberikan
dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang akan menduduki
peperiksaan.Ambil cuti beberapa hari dan usahakan menghantar sendiri anak ke
sekolah pada hari peperiksaan itu. Sepanjang perjalanan, terus berikan kata
perangsang dan nasihat kepadanya.Ingatkan anak sekali lagi, kita tidak
pentingkan apa sekalipun hasil yang dia peroleh, yang penting dia memberikan
usaha yang terbaik.Apa sahaja keputusannya, kita terima dan bersyukur.
10. Banyakkan Berdoa dan Solat Hajat.
Tidak ada suatu yang lebih bermakna bagi
seseorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu
daripada ibu bapanya.Inilah masanya kita meluangkan lebih banyak masa berdoa
baginya supaya dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan
ketenangan dan diterangkan hati.
Berdoalah dengan suara yang jelas supaya
didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa kita itu. Biar anak menyedari
yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa baginya. Dengan cara ini,
mereka lebih menghargainya.Biasanya apabila menjelang peperiksaan, anak-anak
tidur lewat daripada biasa kerana mengulangkaji pelajaran. Jika ibu bapa
menjenguk bilik anak seketika dan maklumkan padanya yang kita mahu solat hajat
sekarang, perasaannya anak pasti terharu dan ini memperkuatkan lagi azamnya
untuk berjaya.Yakinlah Tuhan akan memdengar doa ibu bapa yang ikhlas. Berdoalah
walaupuan pencapaian anak kita pada ketika itu masih kurang memberangsangkan.Sesuatu
yang dirasakan mustahil bagi kita sebenarnya tidak mustahil bagi Tuhan.
InsyaaAllah, bila kita letakkan kepercayaan kepada Allah, Allah akan memudahkan
segala usaha kita.
Penutup:
Dorong Mereka Menghadapi Peperiksaan dengan tenang. Ibu bapa perlu mendorong dan memotivasikan anak untuk belajar tetapi bukan memaksa anak untuk berjaya.Sekiranya ibu bapa memaksa anak untuk WAJIB mendapat hasil yang cemerlang, maka si anak berasa dibebani. Anak belajar bukan kerana kewajipan tetapi kerana ketakutan.Oleh itu berikanlah anak keyakinan. Berikan nasihat dengan penuh kasih sayang. Tunjukkan keprihatinan dan sentiasalah memberi komitmen untuk membantunya. Yang paling penting, jangan lupa memohon kepada Allah agar anak dikurniakan kecemerlangan dan terang hati.Semoga bermanfaat kepada ibu bapa semua =)
Dorong Mereka Menghadapi Peperiksaan dengan tenang. Ibu bapa perlu mendorong dan memotivasikan anak untuk belajar tetapi bukan memaksa anak untuk berjaya.Sekiranya ibu bapa memaksa anak untuk WAJIB mendapat hasil yang cemerlang, maka si anak berasa dibebani. Anak belajar bukan kerana kewajipan tetapi kerana ketakutan.Oleh itu berikanlah anak keyakinan. Berikan nasihat dengan penuh kasih sayang. Tunjukkan keprihatinan dan sentiasalah memberi komitmen untuk membantunya. Yang paling penting, jangan lupa memohon kepada Allah agar anak dikurniakan kecemerlangan dan terang hati.Semoga bermanfaat kepada ibu bapa semua =)
No comments:
Post a Comment